PENYERANG naturalisasi, Joao Figueiredo muncul wira Harimau Malaya selepas meledak gol tunggal yang memastikan kemenangan 1-0 ke atas Palestin dalam aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), malam tadi.
Beraksi di hadapan lebih 5,000 penyokong, skuad bimbingan Peter Cklamovski bermula garang sebaik perlawanan dimulakan, banyak menyerang dari bahagian kiri padang.
Usaha awal itu membuahkan hasil apabila pada minit kedua, hantaran lintang Quentin Cheng disempurnakan Figueiredo untuk menewaskan penjaga gol Palestin, Rami Hamada.
Gol pantas itu menyuntik semangat pasukan tuan rumah untuk terus memberi tekanan kepada anak buah Ihab Abu Jazar yang jelas terganggu dengan jaringan awal berkenaan.
Memasuki babak kedua, Harimau Malaya kekal mendominasi permainan terutama di bahagian tengah, namun beberapa percubaan gagal menghasilkan tambahan jaringan. Pada minit ke-55, Arif Aiman hampir mencatat nama selaku penjaring tetapi rembatan derasnya dari luar kotak penalti sedikit tersasar.
Kemenangan ini menamatkan kemarau 14 tahun Malaysia untuk menewaskan Palestin, selepas kali terakhir melakar kemenangan pada tahun 2001.
Baca juga