Menara Kuala Lumpur dibuka semula Sabtu ini

PETALING JAYA: Menara Kuala Lumpur, mercu kebanggaan negara, bakal dibuka semula kepada orang ramai bermula esok, Sabtu, 26 April, pada pukul 9 pagi.

Pengumuman itu disampaikan oleh Kementerian Komunikasi melalui satu kenyataan media hari ini.

Menurut kementerian tersebut, pembukaan semula Menara Kuala Lumpur itu selaras dengan misi Kerajaan Madani yang berterusan dalam memastikan kesejahteraan pekerja serta menawarkan pengalaman yang kondusif dan selamat kepada semua pengunjung.

“Selari dengan komitmen berterusan Kerajaan Madani dalam menjamin kesejahteraan para pekerja yang terlibat.

“Di samping menyediakan perkhidmatan serta persekitaran yang kondusif dan selamat buat para pengunjung,” kata kenyataan itu.

Dalam perkembangan lain, pengurusan Menara Kuala Lumpur kini diterajui oleh syarikat baharu, LSH Service Master Sdn. Bhd. (LSHSM).

Kementerian turut memberi jaminan bahawa kerajaan komited untuk menawarkan perkhidmatan yang cekap serta mesra pelanggan dengan penambahbaikan daripada segi keselamatan dan keselesaan.

“Kerajaan komited untuk memastikan penyampaian perkhidmatan yang efisien, berorientasikan pelanggan dengan penambahbaikan berterusan kepada aspek keselamatan dan keselesaan yang boleh menarik minat pengunjung dari dalam dan luar negara,” tambahnya lagi.

Sebelum ini, Menara Kuala Lumpur ditutup sementara mulai 17 April bagi memberi laluan kepada proses penyelenggaraan dan penambahbaikan yang dijalankan oleh pengurusan baharu demi kepentingan keselamatan dan keselesaan pengunjung.

Anda Mungkin Berminat