Menara Telekomunikasi Terbakar di Kuala Kangsar, MCMC Aktifkan WiFi Starlink di R&R Sungai Perak

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengaktifkan kemudahan WiFi satelit Starlink di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Perak arah utara bagi memastikan kelangsungan akses komunikasi kepada pengguna lebuh raya susulan kebakaran sebuah menara telekomunikasi di Kuala Kangsar.

Menurut MCMC, kebakaran melibatkan menara komunikasi milik Maxis di Kampung Kelebor itu berlaku petang semalam dan telah menjejaskan liputan perkhidmatan telekomunikasi di beberapa kawasan sekitar.

“Akibat kejadian kebakaran tersebut, liputan perkhidmatan telekomunikasi khususnya bagi pengguna CelcomDigi, Maxis dan Unifi Mobile telah terjejas,” kata MCMC dalam satu kenyataan pada Ahad.

Gangguan liputan turut melibatkan Kampung Kelebor, Kampung Langkap Ketior, Kampung Rambai 7, Kampung Menora, Kampung Senggang, Kampung Ulu Kenas dan Kampung Lempor, selain kawasan R&R Sungai Perak di Lebuhraya Utara–Selatan (PLUS).

Sehubungan itu, MCMC memaklumkan pihaknya telah mengarahkan penyedia perkhidmatan terlibat mengambil tindakan segera bagi memulihkan rangkaian.

“MCMC telah mengarahkan penyedia perkhidmatan melaksanakan tindakan pembetulan serta-merta, termasuk menyediakan pelan pemulihan menyeluruh bagi menangani gangguan liputan,” menurut kenyataan tersebut.

Dalam perkembangan sama, MCMC berkata punca kebakaran masih dalam siasatan dan akses ke lokasi kejadian telah ditutup bagi membolehkan pihak berkaitan termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat menjalankan siasatan lanjut.

“MCMC turut mengarahkan pemilik menara dan penyedia perkhidmatan memperketat penyelenggaraan, pemeriksaan teknikal serta pemantauan berterusan di semua menara bagi memastikan kebolehpercayaan rangkaian dan keselamatan pengguna,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat