Berat mata memandang, berat lagi bahu meminkul. Begitulah keadaan yang perlu ditanggung oleh gadis berusia 23 tahun, Fatin Hanani apabila kedua orang tuanya meninggal dunia dalam satu kejadian kemalangan di berhampiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, Sungai Petani, Kedah pada Khamis.
Fatin Hanani merupakan anak kepada pasangan Allahyarham Mohd Norzianal Mohd Ainol, 46, dan isteri, Suhana Othman, 43, kini menjadi tulang belakang keluarga sekali gus tempat bergantung kepada empat adiknya berusia antara 17 hingga 7 tahun.
Tabah mengharungi dugaan itu, Fatin Hanani memberitahu, awalnya dia sukar untuk mempercayai tentang kemalangan itu sehingga anggota polis menunjukkan kad pengenalan (MyKad) milik kedua ibu bapanya.
Katanya, kejadian yang menimpa ibu bapanya itu diketahui selepas dimaklumkan anggota polis yang datang ke rumah sewa mereka di Taman Pahlawan yang terletak tidak jauh dari lokasi pada pukul 1 pagi.
“Saya terpaksa menerima hakikat bahawa kejadian itu benar-benar berlaku. Saya kemudian memberitahu empat adik yang lain berhubung kemalangan yang menimpa ibu bapa kami menyebabkan mereka gagal mengawal emosi dan terlalu sedih.
“Kami kemudian dibawa ke lokasi kejadian dan mendapati jasad bapa di bawah motosikal manakala ibu pula terbaring tidak sedarkan diri bersebelahannya,” kata penuntut Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang itu lapor Harian Metro.
Sementara itu, anak kedua pasangan terbabit, Aida Batrisya berkata, bapa mereka yang bekerja sebagai pengurus jualan mesin penapis air itu bersama ibunya dikatakan dalam perjalanan untuk membeli makanan.
“Selepas ini kemungkinan besar kami akan tinggal di rumah yang dibeli ibu yang sekarang didiami nenek di Taman Kempas,” katanya.
Selain Fatin Hanani, pasangan terbabit turut meninggal empat cahaya mata lain iaitu Aida Batrisya, 17, Alya Batrisya, 16, Adlin Irfan, 15, dan Adib Ieman, 7.
Sebelum ini, kejadian yang dianggarkan berlaku kira-kira pukul 1 pagi itu, Mohd Norzianal dan isteri, Suhana meninggal dunia selepas motosikal jenis Duke KTM yang dinaiki mereka melanggar tiang elektrik dipercayai cuba mengelak babi melintas bersebelahan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda
Pasangan suami isteri itu meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.
Jenazah pasangan itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Batu di Merbok, pada Khamis.
Baca juga: