PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) dengan pelan mitigasi menyeluruh termasuk pengurusan sekolah, peperiksaan dan keselamatan murid.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya meneliti setiap persediaan di peringkat negeri, termasuk di Kelantan dan Kedah yang berisiko tinggi dilanda banjir.
“Saya mendengar dengan teliti pembentangan mengenai persediaan dan penyelarasan menghadapi kemungkinan banjir, termasuk pelan operasi institusi pendidikan sebelum, semasa dan selepas bencana,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, antara aspek utama diberi perhatian ialah keperluan melaksanakan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam situasi banjir, termasuk daerah berisiko dan guru yang mungkin terjejas.
Ketika lawatan ke SK Titi Haji Idris, Pendang, Kedah, Fadhlina turut menziarahi mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di sekolah berkenaan.
“Alhamdulillah, pengoperasian PPS berjalan lancar. Anak-anak yang ditempatkan di sini dapat mengikuti sesi pembelajaran dan aktiviti yang dikendalikan oleh ‘Academic Support Team’ dan ‘Smart Support Team’ KPM,” katanya.
Beliau menegaskan, keutamaan KPM ketika ini adalah memastikan keselamatan dan kebajikan murid serta warga pendidikan berada pada tahap terbaik.
Fadhlina sebelum ini memaklumkan, KPM turut bekerjasama rapat dengan agensi keselamatan dan kerajaan negeri bagi memastikan koordinasi pantas serta tindakan berkesan sekiranya berlaku bencana di kawasan sekolah.
Baca juga:








