Menteri Agama junjung titah Sultan Selangor

PETALING JAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Na’im Mokhtar merafak sembah dan menjunjung titah Sultan Selangor berkaitan isu cadangan mewujudkan garis panduan kepada umat Isiam yang menghadiri perayaan orang bukan Islam.

Beliau dalam satu kenyataan pada Ahad berkata titah Sultan Selangor agar umat Islam sentiasa berusaha untuk terus memperkukuh akidah dan iman akan dilaksanakan segera oleh agensi-agensi seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) termasuk TV Alhijrah.

“… dengan kerjasama pihak berkuasa agama Islam Negeri-Negeri bagi memperhebatkan usaha dakwah kefahaman Islam dan pengukuhan akidah kepada umat Islam

“Selaras dengan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 7 Februari 2025, JAKIM akan bekerjasama lebih giat dengan Kementerian Perpaduan Negara untuk menganjurkan program-program Dialog Harmoni yang mempromosikan perpaduan dalam negara.

“Pada masa sama, platform Mesyuarat Jawatankuasa Keharmonian Antara Penganut Agama akan digunakan untuk memperkukuh keharmonian dan interaksi antara umat Islam dan masyarakat bukan Islam,” katanya lagi.

Na’im turut menyelitkan Firman Allah dalam Surah Al-Mumtahanah, ayat 8 bermaksud:
“Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil”

Sebelum itu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan pendirian tegas untuk tidak bersetuju dengan cadangan mewujudkan garis panduan kepada umat Islam yang menghadiri majlis perayaan orang bukan Islam khususnya di negeri itu.

Sultan Sharafuddin yang juga ketua agama Islam di Selangor berpandangan cadangan garis panduan itu dibuat pada waktu yang tidak bersesuaian iaitu ketika rakyat sedang giat mengeratkan amalan muhibah pelbagai kaum dan agama demi mengukuhkan perpaduan nasional.

Terdahulu, cadangan garis panduan tersebut yang dijawab di Dewan Rakyat baru-baru ini mengundang kontroversi pelbagai pihak yang disifatkan tidak sesuai dalam amalan masyarakat majmuk.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat