Menteri Agama Junjung Titah Sultan Selangor, Tindakan Tegas Penipuan Haji

PETALING JAYA: Penipuan pakej haji semakin membimbangkan terutama yang melibatkan rakyat Selangor terkandas selepas menggunakan visa pelancong.

Susulan perkara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menjunjung tinggi titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj yang menzahirkan kemurkaan dan kebimbangan terhadap isu berkenaan.

“Titah Tuanku memperlihatkan keprihatinan seorang Raja berjiwa rakyat yang sentiasa memelihara kebajikan umat Islam, lebih-lebih lagi dalam urusan ibadah yang semulia ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, penipuan atas nama agama dan ibadah haji bukan sahaja satu jenayah dari sudut undang-undang tetapi juga bercanggah dengan hukum syarak.

Dalam usaha membanteras kegiatan ini, beliau menyokong penuh tindakan tegas terhadap individu atau syarikat pelancongan yang terlibat.

Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) turut mengambil langkah proaktif dengan menyeru para mangsa supaya membuat laporan kepada pihak berkuasa, serta mengingatkan orang ramai agar hanya berurusan dengan ejen berlesen seperti Tabung Haji.

Mohd Na’im menasihatkan umat Islam agar sentiasa berhati-hati dengan tawaran mencurigakan, menyemak latar belakang ejen haji melalui saluran sah seperti Tabung Haji dan Kementerian Pelancongan serta melaporkan sebarang unsur penipuan kepada pihak berkuasa.

Dalam usaha menangani isu ini, pihak kementerian akan terus bekerjasama dengan agensi berkaitan termasuk Tabung Haji, PDRM, MOTAC serta Majlis Agama Islam Negeri.

Anda Mungkin Berminat