Oleh: Shafira Aziz
PETALING JAYA: Banjir yang melanda beberapa negeri kini memerlukan perhatian dan doa daripada seluruh rakyat Malaysia.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menyeru agar solat hajat diadakan di masjid-masjid utama serta surau-surau di seluruh negara sebagai langkah untuk memohon kesejahteraan dan keselamatan dari ujian yang dihadapi.
“Saya menyeru agar masjid-masjid di bawah pentadbiran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengadakan solat hajat pada malam ini selepas Solat Isyak dan juga esok selepas Solat Jumaat,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Menurutnya, tidak hanya masjid di bawah JAKIM, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) juga diarahkan untuk melaksanakan solat hajat di surau-surau dan masjid-masjid Jumaat di bawah kelolaannya.
Mohd Na’im memohon agar seluruh masjid dan surau di negara turut mengambil bahagian dalam usaha mendoakan kesejahteraan rakyat.
“Marilah kita bersama-sama berdoa agar ujian yang sedang dilalui ini dapat dihadapi dengan penuh ketabahan dan kesabaran,” katanya.
Beliau turut mengingatkan orang ramai untuk sentiasa berhati-hati dan mematuhi arahan pihak berkuasa dalam menangani bencana banjir.
Mohd Na’im juga menyatakan penghargaan kepada para petugas barisan hadapan yang telah bertungkus lumus menyelamatkan dan membantu mangsa-mangsa banjir.