Menteri Agama Tegur Tuduhan Tanpa Tabayyun, Tegas Tiada Toleransi Hina Agama

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hassan menegur pihak yang terus membuat tuduhan tanpa menyemak fakta terlebih dahulu, meskipun laporan media telah diperbetulkan.

“Dalam bulan Ramadan pun masih ada yang membuat tuduhan dan tidak bertabayyun, walaupun laporan media telah diperbetulkan.

“Lebih mengecewakan apabila tuduhan itu datang daripada individu yang berstatus ulama,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, tiada kompromi terhadap sebarang bentuk penghinaan agama dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan undang-undang.

“Saya ingin menegaskan sekali lagi bahawa kita mengecam dan tidak berkompromi dengan apa sahaja tindakan menghina agama.

“Tindakan undang-undang perlu diambil tanpa kompromi,” katanya lagi.

Zulkifli turut mengingatkan bahawa ada pihak tertentu cuba menyembunyikan fakta sebenar demi agenda tertentu, sehingga menimbulkan salah faham dalam masyarakat.

“Saya berpandangan menjadi tanggungjawab kita untuk terus memberi pencerahan dan mendidik masyarakat supaya isu serupa tidak berulang,” katanya.

Dalam mesej yang menekankan nilai Ramadan, beliau menyeru agar mereka yang membuat tuduhan mengamalkan prinsip tabayyun dan menahan diri daripada menyebarkan fitnah.

“Saya mengajak mereka yang membuat tuduhan untuk kembali kepada prinsip tabayyun dan benar-benar menghayati Ramadan sebaiknya.

“Terus sabar dan fokus melakukan kebaikan sebanyak mungkin,” katanya.

Terdahulu, beberapa pihak menyuarakan rasa tidak puas hati berikutan laporan media yang mendakwa Dr Zulkifli mahu mengutamakan pendekatan tarbiah terhadap pelaku berbanding mengambil tindakan menghukum.

Anda Mungkin Berminat