Menteri Beri Jaminan, Aerotrain Ikut Piawaian Antarabangsa

SEPANG: Dua insiden berasingan membabitkan perkhidmatan Aerotrain KLIA yang berlaku pada 2 dan 4 Julai telah mencetuskan pelbagai reaksi.

Namun pihak berkuasa tampil memberikan penjelasan yang memperkukuh keyakinan terhadap sistem keselamatan yang dilaksanakan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook dalam satu kenyataan berkata, gangguan pada Jumaat bukan berpunca daripada kelemahan Aerotrain baharu tetapi disebabkan oleh kegagalan pam saliran di terowong lama yang menyebabkan air hujan bertakung.

Menurutnya, sistem keselamatan automatik telah mengesan risiko dan bertindak menghentikan operasi sebagai langkah berjaga-jaga.

“Inilah bukti bagaimana sistem rel moden sepatutnya berfungsi apabila mengutamakan keselamatan penumpang lebih daripada segala-galanya,” katanya.

Loke berkata, perkhidmatan disambung semula pada pukul 12.15 tengah hari selepas pemeriksaan dilakukan dan air berjaya disalirkan keluar.

Beliau menjelaskan bahawa dua insiden tersebut menunjukkan sistem keselamatan Aerotrain berfungsi dengan baik dan kebolehpercayaan yang tinggi.

Tambah beliau, sistem tersebut direka untuk mengesan bahaya dan menghentikan operasi demi keselamatan penumpang.

“Kedua-dua insiden ini, walaupun menyusahkan daripada sudut keselesaan penumpang, sebenarnya menunjukkan kecekapan dan kebolehpercayaan sistem keselamatan Aerotrain baharu.

“Saya ingin memberi jaminan kepada orang ramai bahawa aset Aerotrain baharu di KLIA dibina mengikut piawaian antarabangsa dan sedang beroperasi dengan baik,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia Airports dan Kementerian Pengangkutan (MOT) kekal komited untuk menambah baik perkhidmatan dan menyelesaikan isu secara pantas bagi menyediakan perjalanan yang selamat dan lancar kepada semua pengguna.

“Saya hargai kesabaran dan kefahaman orang ramai ketika kami menyesuaikan operasi pada fasa awal perkhidmatan Aerotrain baharu ini,” katanya.

Manakala insiden pada 2 Julai pula melibatkan seorang penumpang yang menghalang pintu platform daripada tertutup.

Loke berkata, sistem keselamatan bertindak dengan mengaktifkan ciri pencegahan automatik, iaitu satu langkah yang wajar demi melindungi individu tersebut.

Tambahnya, pihak berkuasa terus menjalankan penambahbaikan bagi memastikan perkhidmatan Aerotrain KLIA beroperasi secara lancar, cekap dan selamat.

Anda Mungkin Berminat