KUALA LUMPUR : Spekulasi rombakan kabinet terjawab apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa tiada keperluan untuk melakukan rombakan Kabinet dalam masa terdekat ekoran dua menteri kanan telah meletakkan jawatan.
Beliau berkata, kekosongan sementara jawatan Menteri Ekonomi serta Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam susulan peletakan jawatan Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad akan dipangku oleh menteri kanan lain buat sementara waktu.
“Mereka sudah menghantar surat peletakan jawatan, namun saya hanya meluluskan cuti buat masa ini.
“Saya akan minta menteri kanan lain untuk memangku tugasan kementerian masing-masing,” kata Anwar.
Peletakan jawatan kedua-dua menteri terbabit berlaku selepas mereka tewas dalam pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru-baru ini. Rafizi gagal mempertahankan jawatan sebagai Timbalan Presiden PKR apabila tewas kepada Nurul Izzah Anwar, manakala Nik Nazmi juga tewas dalam perebutan jawatan Naib Presiden.
Perdana Menteri, kerajaan tetap berfungsi seperti biasa dan semua urusan kementerian akan diteruskan oleh Ketua Setiausaha serta pegawai kanan yang telah diarahkan untuk memastikan kelancaran pentadbiran.
“Pada masa yang sama, kita sedang dalam proses rundingan penting dengan rakan serantau dan antarabangsa, termasuk ASEAN, Majlis Kerjasama Teluk (GCC), China dan Amerika Syarikat berkaitan isu tarif dikenakan oleh Presiden AS Donald Trump,” katanya lagi.
Anwar turut menegaskan bahawa beliau memberi ruang kepada Rafizi dan Nik Nazmi untuk mempertimbangkan keputusan mereka sebelum sebarang tindakan lanjut diambil.