Menteri Kesihatan Lakukan Lawatan Mengejut Ke HTAR, Umum Kelulusan Segera Peralatan Baharu

KLANG: Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad melakukan lawatan mengejut ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang bagi menilai perkembangan semasa, cabaran harian serta keadaan pesakit dan petugas kesihatan.

Dalam lawatan itu, beliau mengumumkan kelulusan segera untuk pembekalan dua mesin oftalmologi baharu bagi meningkatkan keupayaan diagnostik dan mempercepat pengesanan awal penyakit mata.

Peralatan tersebut ialah Fundoscopy system bernilai RM250,000 dan OCT spectrometer bernilai RM600,000.

Dzulkefly turut meninjau Jabatan Kecemasan termasuk Zon Merah yang terjejas akibat kebakaran pada Julai lalu.

“Alhamdulillah, kerja-kerja pemulihan telah siap sepenuhnya dan zon tersebut kembali beroperasi seperti biasa,” katanya.

Beliau juga meninjau sistem pneumatic tube HTAR iaitu sistem penghantaran bertekanan udara yang digunakan sejak 1997 untuk memindahkan sampel darah, ubat-ubatan dan dokumen penting antara jabatan.

Sistem itu katanya, menjimatkan masa kritikal dan meningkatkan kecekapan perkhidmatan.

Di Kompleks Ibu dan Anak serta Wad Pediatrik, Dzulkefly mendapati beberapa bahagian masih mengalami masalah pengudaraan dan liputan penghawa dingin yang tidak menyeluruh.

“Saya telah mengarahkan pihak hospital untuk mempercepat kerja naik taraf termasuk memastikan semua kawasan pesakit dilengkapi penghawa dingin demi keselesaan ibu, kanak-kanak dan petugas,” katanya.

Beliau turut menekankan keperluan segera membaiki lif di kompleks tersebut yang kini hanya berfungsi satu unit.

“Saya telah mengarahkan jurutera bertugas untuk mempercepat pembaikan dan penaiktarafan dengan segera,” katanya.

Dr Dzulkefly berkata, HTAR kekal sebagai nadi kesihatan masyarakat Klang dan kementerian akan terus memperkukuh perkhidmatan, fasiliti serta infrastrukturnya agar rakyat menerima rawatan yang selamat, bermaruah dan berperikemanusiaan.

“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Pengarah Hospital, Dr Sarina Sidek serta rakan baik saya Dr Ahmad Tajuddin, Pakar Perunding Kecemasan, atas komitmen dan kepimpinan mereka,” katanya.

Anda Mungkin Berminat