KUALA LUMPUR: Sempena Ramadan tahun ini, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming meneruskan tradisi penuh makna apabila beliau turun padang bersahur bersama warga Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melalui Program Singgah Sahur Madani di Balai Bomba dan Penyelamat Seputeh, Kuala Lumpur.
Bangun seawal pukul 4.00 pagi, Nga bukan sekadar hadir, malah turut membantu menyediakan juadah sahur sebelum duduk bersama anggota bomba menikmati hidangan.
Kehadiran beliau menjadi simbol penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan pasukan penyelamat negara.
“Wira dan wirawati merah negara kita merupakan insan luar biasa yang sanggup berkorban masa bersama keluarga demi menjaga keselamatan masyarakat.
“Jasa mereka amat dihargai oleh Kerajaan MADANI,” ujar beliau.
Menteri KPKT berkata, pengalaman bersahur bersama anggota bomba memberi peluang untuk merasai sendiri rutin harian JBPM yang tetap komited memberikan perkhidmatan terbaik walaupun di bulan Ramadan.
Selain menyantuni seramai 100 anggota yang bertugas di balai tersebut, kehadiran beliau turut menyuntik semangat kepada pasukan bomba yang sentiasa berdepan risiko ketika menjalankan amanah.
Turut hadir ialah Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Ts. Nor Hisham Mohammad.
Menariknya, pada Ramadan lalu, Nga mencatat sejarah sebagai Menteri KPKT pertama yang bersahur bersama warga bomba di Balai Bomba Jalan Hang Tuah, Kuala Lumpur.
Program itu kini diteruskan sebagai platform mendekatkan kepimpinan KPKT dengan lebih 15,000 anggota JBPM di seluruh negara.
“KPKT dan JBPM terus komited memastikan kebajikan serta kesejahteraan anggota bomba dipelihara, selaras dengan usaha Kerajaan MADANI menyediakan perkhidmatan terbaik kepada rakyat,” katanya.








