Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri menegaskan hukuman lebih berat wajar dikenakan ke atas seorang bapa yang sepatutnya menjadi pelindung namun berkelakuan jijik serta tidak senonoh ke atas keluarganya.
Nancy berkata demikian, merujuk kepada kes seorang lelaki berusia 56 tahun yang didenda RM6,000 kerana mengaku bersalah merakam dan memiliki bahan lucah berupa video serta gambar bogel anak tirinya yang diambil ketika kanak-kanak itu sedang mandi.
“Saya berharap dengan ruang yang ada, pihak yang bertanggungjawab dapat merayu terhadap hukuman tersebut.
“Lebih-lebih lagi, kesalahan di bawah Seksyen 10 Akta KesalahanKesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 memperuntukkan hukuman maksimum penjara lima (5) tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya menerusi satu kenyataan media hari ini.
Beliau turut menyifatkan hukuman yang dikenakan ke atas lelaki terbabit adalah ringan berbanding kesalahan yang telah dilakukan.
Dengan nada marah beliau berkata, Malaysia tidak boleh lagi bertolak ansur terhadap sebarang bentuk eksploitasi dan gangguan seksual terhadap kanak-kanak.
Justeru, Nancy menyatakan hukuman yang lebih tegas bukan sahaja memberikan keadilan kepada mangsa, tetapi juga menjadi pengajaran dan peringatan kepada masyarakat bahawa perbuatan seumpama itu tidak akan diterima dalam apa jua keadaan.
Baca juga: