Kerajaan Negeri Sembilan menzahirkan rasa dukacita selepas mendapat perkhabaran berhubung dengan tragedi nahas antara Helikopter Operasi (HOM-AW139) TLDM dan helikopter FENNEC TLDM.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun memaklumkan bahawa salah seorang mangsa tragedi tersebut menetap di Senawang, Negeri Sembilan.
“Pegawai tersebut adalah Lt. Kdr Mohammad Amirulfaris Mohamad Marzhuki. Almarhum meninggalkan seorang balu dan dua orang anak.
“Jenazah dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainon, Ipoh untuk urusan bedah siasat. Pengurusan pengebumian jenazah akan dilaksanakan di Tanah Perkuburan Islam Forest Heights, Senawang seusai proses pengurusan jenazah selesai.
“Semoga semua prajurit yang terkorban akan ditempatkan bersama orang-orang yang beriman dan soleh,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menyifatkan tragedi itu sebagai amat menyedihkan selain mendoakan keluarga mangsa dikurniakan kekuatan dan ketabahan menghadapi saat getir tersebut.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, yang turut mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga mangsa nahas itu, mendoakan agar mereka yang terkorban ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail pula menyifatkan tragedi yang menyayat hati itu sebagai satu kehilangan yang cukup besar kepada negara dan TLDM.
Dalam masa sama, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang mengucapkan takziah turut menitipkan doa buat mangsa yang terkorban dalam tragedi itu.
Terdahulu, tragedi nahas antara dua helikopter TLDM telah terhempas semasa raptai perbarisan Hari TLDM ke-90 di Pengkalan TLDM Lumut pada Selasa.

Nahas tersebut telah melibatkan 10 orang anggota tentera TLDM dan kesemua mangsa telah disahkan terkorban pada kejadian tersebut.
Baca juga: