PETALING JAYA: Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa beliau terlibat dalam skandal rasuah berkait projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah (WP35).
Dakwaan itu dipercayai disebarkan melalui satu saluran Telegram.
Dalam kenyataan di Facebook hari ini, Alexander mengesahkan bahawa Setiausaha Kanan Sulitnya telah membuat laporan polis di Balai Polis Tun H.S. Lee pada Rabu untuk menolak tuduhan tersebut serta mendesak siasatan segera.
“Saya akan memberikan komitmen penuh untuk bekerjasama dalam apa jua bentuk bagi membantu siasatan dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana pihak yang bertanggungjawab menyebarkan fitnah ini,” katanya.
Alexander menjelaskan bahawa mesej yang tersebar bukan sahaja mengaitkan beliau secara langsung tetapi juga mengandungi dakwaan yang bersifat fitnah, tidak berasas serta berniat jahat.
“Sebagai seorang ahli politik dan anggota pentadbiran kerajaan yang sentiasa menjunjung amanah serta komited menjaga kepentingan rakyat dan negara, tuduhan ini bukan sahaja menjatuhkan imej dan integriti saya, malah turut mencemar reputasi Kementerian Kerja Raya dan Kerajaan Malaysia secara keseluruhan,” katanya lagi.
Beliau turut meluahkan kebimbangan terhadap penyebaran mesej tersebut yang kini tular bukan sahaja di Telegram tetapi juga di pelbagai platform media sosial sehingga menyebabkan timbulnya persepsi negatif dalam kalangan masyarakat.
Menegaskan pentingnya integriti dalam dunia politik, Alexander berkata, fitnah tidak boleh dijadikan alat untuk menjatuhkan reputasi seseorang demi kepentingan atau agenda peribadi.