Menteri ucap takziah kepada Keluarga Koperal Hafizul

PETALING JAYA: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Koperal Mohd Hafizul Izham Mazlan yang terkorban ketika menjalankan tugas di Alor Setar, semalam.

Dalam kenyataannya, beliau menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan seluruh warga keselamatan negara.

“Saya amat sedih menerima perkhabaran duka ini. Semoga Allah mengampunkan dosa Allahyarham, menempatkannya bersama orang beriman dan memberi kekuatan kepada keluarga yang ditinggalkan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Jumaat.

Allahyarham Koperal Mohd Hafizul, 35, maut dirempuh satu kenderaan dipandu suspek kes pecah rumah yang cuba melarikan diri berhampiran Taman Golf, Alor Setar sekitar jam 3.30 petang.

Ketua Polis Kedah, Komisioner Datuk Adzli Abu Shah, berkata mangsa dirempuh ketika keluar dari kenderaan pasukan untuk menahan suspek yang cuba mencuri peti besi dari sebuah rumah.

Tiga suspek berjaya diberkas kurang sejam kemudian di Kepala Batas, Jitra manakala seorang lagi ditahan di lokasi. Kesemua dipercayai berasal dari Johor dan mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 457 kerana pecah rumah. Orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian.

Mohd Hafizul yang berasal dari Setiu, Terengganu, meninggalkan seorang isteri dan empat anak berusia antara empat hingga 11 tahun.

Dalam pada itu, Saifuddin turut memberi jaminan bahawa kebajikan keluarga Allahyarham akan diberi perhatian sepenuhnya.

“KDN dan PDRM akan memastikan segala urusan termasuk pembayaran gratuiti, ex-gratia, ganjaran dan sumbangan kepada waris beliau disalurkan dengan segera.” katanya.

Urusan pengurusan jenazah dan pengebumian Allahyaham juga akan diuruskan oleh pihak PDRM
dengan penuh penghormatan yang sewajarnya dengan jasa bakti beliau kepada negara.

Beliau menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Allahyarham Koperal Mohd Hafizul atas khidmat bakti beliau yang tidak ternilai.

Beliau juga mengucapkan terima kash kepada seluruh warga PDRM atas semangat setia dan pengorbanan mereka yang tidak pernah luntur dalam memastikan keselamatan negara terus terpelihara.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat