Oleh: Hanim Nadia
PARLIMEN: Kerajaan akan meneruskan inisiatif Menu Rahmah dengan fokus di kawasan perumahan kos rendah dan berhampiran kilang untuk memastikan golongan sasar merasai manfaatnya.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, kerajaan akan memprofilkan kawasan bersesuaian untuk menawarkan kemudahan menu itu oleh peniaga.
“Kita komited supaya program Menu Rahmah diteruskan di kawasan berkenaan, mungkin tidak diperluaskan di seluruh negara tetapi masih wujud alternatif pelaksanaannya kepada golongan memerlukan,” katanya pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 peringkat dasar, di Dewan Rakyat pada Selasa.
Menurut Armizan, kerajaan mempertimbangkan untuk memberi akses kepada peniaga Menu Rahmah melalui Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) dengan membolehkan mereka membeli kuantiti barangan yang lebih bagi menawarkan menu itu secara bersasar.
“Kita juga mempertimbangkan untuk memberi akses kepada peniaga Menu Rahmah melalui PJRM dengan membolehkan mereka membeli kuantiti barangan yang lebih supaya dapat menawarkan menu itu di kawasan secara bersasar,” tambahnya.
Armizan juga sedar kesukaran peniaga menjalankan program ini yang berkonsepkan sukarela dan cuba membantu dengan menjual barangan pada harga munasabah menerusi PJRM.
“Kita melihat cabaran untuk melaksanakan Menu Rahmah ini, ia bersandarkan kepada elemen kesukarelawan kepada peniaga. Jadi kita harap dengan pendekatan yang kita laksanakan melalui PJRM, kita dapat libatkan peniaga Menu Rahmah,” jelasnya.
Dalam pada itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang mempertimbang untuk melaksanakan PJRM di pasar-pasar terpilih dan di dalam kampus pada tahun hadapan.
“Pelaksanaan di kampus itu bagi memastikan inisiatif yang dilaksanakan kerajaan menepati keperluan golongan sasar iaitu anak-anak golongan berpendapatan rendah,” kata Armizan.
Baca juga: