Menu Rahmah Kini Tersedia Di Hospital Seremban

SEREMBAN: Inisiatif Menu Rahmah terus diperluas ke sektor kesihatan apabila Hospital Tuanku Ja’afar (HTJS) di Seremban menjadi hospital kedua di Malaysia yang menawarkan hidangan berpatutan kepada orang awam dan warga hospital.

Dengan purata 5,023 pesakit dan 32,665 pengunjung setiap bulan, HTJS menjadi hospital rujukan utama Negeri Sembilan yang menempatkan 23 jabatan klinikal kini menyediakan makanan lengkap bernilai RM5 melalui kafeteria hospital.

Hidangan tersebut merangkumi nasi, sumber protein, sayur-sayuran dan air mineral.

Menurut Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr Fuziah Salleh, langkah itu adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk meringankan beban rakyat.

“Inisiatif ini turut mendapat sokongan Kementerian Kesihatan Malaysia dan Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan.

“Menu Rahmah bukan sekadar program makanan mampu milik tetapi lambang keprihatinan kerajaan terhadap kesejahteraan rakyat.

“Malaysia MADANI bukan sekadar slogan, tetapi satu konsep yang membawa maksud keprihatinan dan kasih sayang kerajaan kepada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, program ini telah diperluas ke pelbagai sektor termasuk bazar Ramadan, institusi pendidikan, industri dan program advokasi seperti Karnival KPDN untuk MADANI Rakyat.

Anda Mungkin Berminat