PUTRAJAYA: Kerajaan MADANI akan melatih penjawat awam secara intensif dalam bidang digital dan kecerdasan buatan (AI) bagi mempercepat transformasi perkhidmatan awam seiring aspirasi menjadi negara berpendapatan tinggi berpacukan teknologi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, usaha ini selari dengan sasaran untuk memastikan 95 peratus perkhidmatan Kerajaan Persekutuan tersedia sepenuhnya secara dalam talian menjelang tahun 2030.
“Kita mahu memastikan setiap penjawat awam bukan sekadar cekap dalam tugas, tetapi juga bersedia menghadapi gelombang teknologi baharu yang mendefinisikan semula penyampaian perkhidmatan awam,” katanya semasa membentangkan RMK13 hari ini.
Latihan melibatkan pemahaman teknologi analitik data raya (big data), pembangunan sistem pintar, serta penerapan AI dalam operasi harian, bagi menjadikan urusan kerajaan lebih cepat, cekap dan berasaskan data.
Kerajaan optimis bahawa pendekatan ini akan memperkukuh kedudukan Malaysia di peringkat antarabangsa, dengan matlamat:
Mencapai 20 kedudukan terbaik dunia dalam Online Service Index oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, dan
Mengekalkan *Kategori A dalam GovTech Maturity Index yang menilai keupayaan digital sesebuah kerajaan.
Transformasi ini turut didukung oleh pembangunan MyDigital ID dan Gerbang Tunggal Perkhidmatan Awam sebagai nadi utama pelaksanaan GovTech Malaysia.
Baca juga: