MERCY Malaysia Salur Bantuan Perubatan dan Sokongan Psikososial di Lokasi Banjir Kelantan

PETALING JAYA: MERCY Malaysia menggerakkan pasukan tindak balas kecemasan ke beberapa kawasan terjejas di Kelantan bagi menyokong operasi bantuan banjir yang sedang dilaksanakan pelbagai agensi di lapangan.

Organisasi kemanusiaan itu berkata, selain pengagihan barangan keperluan asas, pasukan turut menyediakan perkhidmatan kesihatan termasuk sokongan kesihatan mental di pusat pemindahan yang mencatat peningkatan jumlah mangsa.

Menurut MERCY Malaysia, kerjasama rapat dijalinkan bersama Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Tumpat, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Tumpat bagi memastikan koordinasi bantuan dapat dilakukan dengan lebih tersusun dan berkesan.

“Pasukan kami menjalankan klinik bergerak, aktiviti mesra kanak-kanak, sokongan psikologi awal serta mengagihkan lampin pakai buang kepada bayi, kanak-kanak dan OKU di pusat pemindahan terpilih,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

MERCY Malaysia menegaskan bahawa bantuan tambahan amat diperlukan ketika cuaca tidak menentu dan jumlah mangsa yang dipindahkan terus meningkat dari semasa ke semasa.

Sehubungan itu, orang ramai digesa menghulurkan sumbangan bagi membantu memperkukuh operasi bantuan banjir di negeri berkenaan.

Sumbangan boleh disalurkan melalui akaun MERCY Malaysia di CIMB Islamic Bank Berhad: 8606129117, dengan rujukan MTL.

MERCY Malaysia turut memainkan peranan penting dalam misi bantuan kecemasan sejak penubuhannya pada 1999, termasuk respons pantas terhadap bencana banjir besar yang melanda beberapa negeri setiap tahun.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat