MERCY Malaysia Terus Bantu Pesakit Dialisis di Gaza

GAZA: MERCY Malaysia meneruskan komitmennya membantu pesakit di Gaza yang bergantung kepada rawatan dialisis untuk terus hidup, meskipun berdepan cabaran kekurangan bekalan, kerosakan infrastruktur dan gangguan bekalan elektrik.

Organisasi kemanusiaan itu melalui Pasukan Penjagaan Khas (SCT 6) kini menumpukan usaha memastikan operasi rawatan dialisis di hospital-hospital tempatan Gaza dapat diteruskan dengan lancar.

Menurut MERCY Malaysia, setiap mesin dialisis yang masih berfungsi di Gaza hari ini membawa makna besar kerana ia bererti satu lagi nyawa dapat diselamatkan.

“Pasukan kami bekerjasama rapat dengan petugas kesihatan tempatan untuk memastikan pesakit dapat terus menerima rawatan dialisis secara konsisten dan selamat,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, pasukan SCT 5 MERCY Malaysia telah menambah baik kemudahan dan menaik taraf peralatan di wad dialisis beberapa hospital di Gaza, bagi memastikan rawatan penting itu dapat diteruskan tanpa gangguan.

Inisiatif tersebut menjadi kesinambungan kepada usaha berterusan organisasi itu dalam menyokong pemulihan sistem kesihatan di wilayah yang terjejas akibat konflik berpanjangan itu.

“MERCY Malaysia kekal teguh dalam misi membantu memulihkan akses kepada perkhidmatan kesihatan asas serta mempertahankan hak untuk mendapat rawatan bagi semua penduduk Gaza,” jelas kenyataan itu lagi.

MERCY Malaysia menggesa orang ramai menyalurkan sumbangan bagi menyokong misi kemanusiaan di Gaza. Sumbangan boleh dibuat melalui akaun CIMB Islamic Bank Berhad: 8606129117 dengan rujukan ‘Gaza’, dan semua derma tunai layak mendapat potongan cukai.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat