PETALING JAYA: Di sebalik pengumuman gencatan senjata terbaharu, situasi kemanusiaan di Gaza kekal genting.
Hospital masih beroperasi dalam keadaan kritikal, kekurangan tenaga kerja dan peralatan asas, manakala ribuan pesakit menunggu rawatan yang belum pasti.
MERCY Malaysia terus menghulurkan bantuan perubatan, membuktikan komitmen tanpa syarat terhadap misi kemanusiaan.
Menerusi Pasukan Penjagaan Khusus (Specialised Care Team – SCT 6) yang dihantar di bawah penyelarasan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), MERCY Malaysia kini berada di lapangan, menyalurkan rawatan dan sokongan kepada penduduk yang terjejas akibat konflik berpanjangan.
“Walaupun gencatan senjata diumumkan, keadaan di Gaza masih sangat rapuh.
“Hospital kekurangan peralatan asas dan ramai pesakit memerlukan rawatan segera,” kata MERCY Malaysia.
Pasukan sukarelawan yang terdiri daripada pakar bedah, ortopedik, bius dan matron kejururawatan telah memulakan tinjauan klinikal dan memberi rawatan awal kepada komuniti yang memerlukan sejak minggu lalu.
Mereka berdepan dengan sistem kesihatan yang hampir lumpuh, namun tetap meneruskan khidmat dengan penuh dedikasi.
Pengerusi Yayasan Ikhlas, Zainur Rashid Zainuddin, yang turut menyertai misi tersebut, menyifatkan keadaan di Gaza sebagai amat menyayat hati.
“Kami melihat sendiri kesan kemusnahan terhadap sistem kesihatan.
“Ramai pesakit menunggu rawatan kerana fasiliti tidak mampu menampung jumlah yang terlalu ramai,” katanya.
Beliau berharap tempoh tenang ini dapat membuka ruang lebih luas kepada kemasukan sokongan antarabangsa, agar bantuan dapat disalurkan dengan lebih lancar dan berkesan.
“Misi ini bukan mudah tetapi kami berpegang pada amanah untuk membantu selagi termampu.
“Setiap ruang keamanan harus dimanfaatkan untuk membawa lebih banyak bantuan,” katanya.
MERCY Malaysia turut berkata, fokus mereka bukan sekadar bantuan kecemasan tetapi juga pemulihan jangka panjang sistem kesihatan Gaza yang telah terjejas teruk.
“Fokus kami bukan sekadar bantuan kecemasan tetapi memulihkan daya tahan sistem kesihatan dan mengembalikan harapan masyarakat di Gaza,” menurutnya.
Orang ramai yang ingin menyokong misi bantuan ini boleh menyalurkan sumbangan ke:
MERCY Malaysia
CIMB Islamic Bank Berhad: 8606 1291 17
SWIFT Code: CTBBMYKL
Rujukan: Gaza








