Mesir, UK bincang keadaan kritikal Gaza menerusi perbualan telefon

Oleh: Tyah Helmi

MESIR: Di saat Gaza makin dibedil dan ditekan oleh Israel tanpa henti, dua negara besar dunia iaitu Mesir dan Britain dilaporkan melaksanakan perbincangan berhubung suasana kritikal bumi Palestin.

Memetik portal berita tempatan negara itu, perbincangan itu melibatkan kedua-dua ketua negara iaitu Presiden Mesir Abdel Al Fattah Al Sisi bersama Perdana Menteri Britain, Keir Starmer menerusi perbualan telefon pada Khamis.

Lapor berita itu, perbincangan terbabit berlangsung susulan kenyataan bersama dikeluarkan dua hari lebih awal oleh UK, Perancis dan Kanada, yang mengancam akan mengambil “tindakan konkrit” terhadap Israel sekiranya negara itu tidak menghentikan serangan ketenteraannya yang baharu ke atas Gaza serta menyekat bantuan kemanusiaan.

Difahamkan, Al-Sisi turut berkongsi pandangan Mesir berhubung betapa kritikalnya keadaan jutaan manusia di Gaza serta usaha rundingan yang tanpa henti antara Qatar dan Amerika Syarikat (AS) bagi mencapai gencatan senjata serta jaminan kemasukan bantuan kemanusiaan di wilayah semenanjung Gaza.

Pemimpin Mesir itu turut menyatakan penolakan tegas Mesir terhadap sebarang usaha untuk menghapuskan perjuangan rakyat Palestin atau mengusir mereka dari tanah mereka sendiri.

Beliau turut menggesa komuniti antarabangsa untuk menyokong pelan Arab-Islam bagi membangunkan semula Gaza dan melaksanakan sokongan itu kepada tindakan konkrit sebaik sahaja gencatan senjata dicapai.

Dalam perbincangan itu juga, kedua-dua pemimpin menegaskan komitmen mereka untuk memperkukuh hubungan dua hala serta meneroka peluang kerjasama baharu dalam pelbagai sektor.

Perkembangan ini menunjukkan peranan aktif Mesir dalam isu serantau serta usaha diplomatiknya untuk mencapai keamanan di Gaza, selain memperkukuhkan hubungan strategik dengan negara-negara kuasa besar.

Sehingga kini, jumlah rakyat Palestin yang dilaporkan syahid akibat pembunuhan beramai-ramai oleh negara haram Israel telah mencapai sebanyak 53,762 dan 122, 197 lagi mengalami kepelbagaian kecederaan sejak 7 Oktober tahun lalu.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat