Oleh: Wahida Ramlan
PARIS: Atlet angkat berat negara, Mohammad Aniq Kasdan terlepas merangkul pingat gangsa apabila dibezakan hanya satu kilogram (kg) dengan pemenang pingat gangsa dalam kategori 61kg Olimpik Paris 2024, malam tadi.
Meskipun tewas, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh memuji kehebatan atlet berusia 22 tahun itu selepas memecah rekod kebangsaan dengan jumlah angkatan 297 kg.
“Ikon baru sukan Malaysia. Beliau hampir menang pingat gangsa di Paris selepas memecahkan rekod kebangsaan dengan jumlah angkatan 297 kilogram.
“Walaupun baru sahaja dimasukkan ke dalam program Road To Gold pada bulan November lalu, beliau menunjukkan peningkatan yang amat ketara, daripada ranking ke-10 kepada tempat keempat terbaik di Sukan Olimpik.
“Beliau telah menunjukkan bahawa sukan angkat berat mempunyai potensi raih pingat emas di Sukan Olimpik Los Angeles (LA2028) nanti,” katanya menerusi satu kenyataan.
Tambah Hannah, Aniq memberikan inspirasi kepada negara kita dan beliau yakin lebih ramai anak muda bakal meneroka sukan angkat berat selepas melihat aksinya di pentas terbesar dunia itu.
Aniq menduduki tangga keempat selepas berjaya mengangkat 297 jumlah angkatan berbanding atlet Amerika Syarikat,Hampton Morris yang menduduki tempat ketiga dengan 298kg.
Atlet muda negara itu menamatkan pusingan snatch dengan angkatan 130kg untuk berada di tangga keempat dan 167kg dalam clean and jerk.
Atlet China, Li Fabin berjaya mempertahankan emas yang dimilikinya pada edisi Tokyo dengan angkatan keseluruhan berjumlah 310kg, manakala Theerapong Silachai dari Thailand meraih pingat perak dengan angkatan 303kg.