KOLKATA: Malam yang sepatutnya menjadi pesta bola sepak bersejarah bertukar menjadi rusuhan apabila ribuan peminat Lionel Messi meluahkan kemarahan di Stadium Salt Lake.
Ikon bola sepak dunia itu hanya muncul sekitar 10 hingga 20 minit sebelum beredar, meninggalkan penyokong yang berbelanja besar untuk tiket dalam keadaan kecewa dan marah.
Kekecewaan itu segera bertukar menjadi tindakan liar.
Penonton mula melempar botol dan kerusi ke padang, malah ada yang menceroboh kawasan permainan.
Fasiliti stadium rosak akibat vandalisme, sementara polis terpaksa campur tangan bagi mengawal keadaan.
Penganjur utama acara, Satadru Dutta, ditahan pihak berkuasa kerana disyaki gagal menguruskan acara dengan baik.
Kontroversi semakin memuncak apabila Gabenor Bengal Barat, C.V. Ananda Bose, dihalang masuk ke stadium.
Pintu ditutup dan lampu dipadam ketika beliau tiba, menimbulkan persoalan mengenai kawalan keselamatan serta pengurusan acara yang dianggap lemah.
Messi sebenarnya sempat menghadiri beberapa acara rasmi di Kolkata sebelum insiden berlaku.
Beliau merasmikan patung setinggi 70 kaki di Lake Town dan bertemu bintang Bollywood Shah Rukh Khan bersama anaknya Abram, sambil menandatangani autograf.
Namun, acara di stadium yang sepatutnya menjadi kemuncak lawatan bertukar menjadi kekecewaan besar.
Media tempatan melabelkan insiden itu sebagai ‘hari paling gelap dalam sejarah bola sepak India’.
Ribuan peminat berasa tertipu, manakala pihak berkuasa kini menyiasat penganjur serta langkah keselamatan stadium.








