Mesyuarat Khas Menteri Besar Dan Ketua Menteri: Malaysia Teguh Hadapi Krisis Tenaga Global

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Khas Menteri Besar dan Ketua Menteri hari ini menjadi wadah penting dalam meneliti secara menyeluruh perkembangan krisis tenaga global susulan konflik di Asia Barat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendekatan kerajaan berteraskan data serta realiti semasa, agar setiap pimpinan negeri dapat bertindak secara selari, bersepadu dan berpaksikan fakta bersama Kerajaan Persekutuan.

“Fokus Kerajaan MADANI kekal tegas dan tidak berganjak, memastikan kestabilan bekalan, membendung tekanan kenaikan harga serta melindungi rakyat daripada kesan langsung krisis ini,” katanya.

Dalam kerangka itu katanya, kerajaan menggerakkan perancangan senario yang teliti dan menyeluruh bagi mendepani pelbagai kemungkinan termasuk memastikan kesinambungan bekalan tenaga negara sentiasa terjamin dalam apa jua keadaan.

Anwar menekankan bahawa setiap langkah dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab dan pertimbangan dengan keutamaan jelas untuk menjaga kebajikan rakyat melalui inisiatif sokongan yang bersasar dan berkesan.

Selain itu, libat urus strategik bersama semua pemegang taruh termasuk pihak industri dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) akan terus diperkukuh agar setiap pendekatan bersifat menyeluruh, seimbang dan berimpak tinggi.

“Semangat kebersamaan antara Kerajaan Persekutuan dan negeri kekal menjadi teras utama dan saya yakin Malaysia akan terus teguh, berdaya tahan serta mampu melindungi rakyat dalam apa jua keadaan,” ujar beliau.

Anda Mungkin Berminat