Mesyuarat Khas Thailand-Kemboja Bermula Di Putrajaya

PUTRAJAYA: Mesyuarat khas antara Thailand dan Kemboja bagi membincangkan konflik sempadan yang berlarutan, bermula pada pukul 3.15 petang tadi di Kompleks Seri Perdana, di sini.

Malaysia bertindak sebagai negara pengantara dalam rundingan bersejarah itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, selaku Pengerusi ASEAN, mempengerusikan sesi rundingan dengan objektif utama mencapai persetujuan gencatan senjata antara dua jiran Asia Tenggara tersebut.

Turut hadir sebagai fasilitator bersama adalah Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia, Edgard D. Kagan dan Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing yang menyokong penuh usaha damai ini.

Menurut laporan AFP, Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai, serta Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet, dijadual bertemu secara rasmi selepas insiden pertempuran bersenjata yang berlaku di sempadan utara Kemboja pada 25 Julai lalu.

Pertikaian sempadan sepanjang 817 kilometer itu telah menjadi isu berpanjangan dan terus menimbulkan ketegangan serta tekanan diplomatik kedua-dua negara.

Difahamkan satu sidang media bersama akan diadakan petang ini sejurus tamat rundingan.

Anda Mungkin Berminat