PUTRAJAYA: Malaysia terus memainkan peranan aktif di peringkat antarabangsa, kali ini dalam Mesyuarat Majlis Menteri-Menteri Luar Negeri Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) ke-51 di Istanbul.
Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan menggariskan keutamaan dalam Mesyuarat Perhubungan OIC berkaitan Rohingya Muslim di Myanmar, dengan mengetengahkan pendirian Malaysia selaku Pengerusi ASEAN.
“Menerusi dialog inklusif, menghentikan ancaman keganasan dan meningkatkan bantuan kemanusiaan,” kata Wisma Putra dalam satu kenyataan.
Menurutnya, Mohamad Hasan telah merumuskan tiga teras utama pendekatan Malaysia bagi menangani isu Rohingya.
Beliau turut mengalu-alukan peranan aktif Negara-Negara Anggota OIC untuk bersama pemegang taruh dalam mencari damai yang berkekalan di Myanmar.
Di sela-sela mesyuarat, Menteri Luar turut mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawat dari lebih 20 negara, antaranya Algeria, Arab Saudi, Turkiye, dan Thailand.
Selain memperkukuh kerjasama dua hala, Wisma Putra berkata, turut disentuh isu global seperti konflik di Palestin dan ketegangan di Timur Tengah.
Mesyuarat OIC kali ini mencapai kata sepakat dengan kelulusan 147 resolusi serta pengisytiharan penting melalui Deklarasi Istanbul, mencerminkan solidariti negara anggota dalam menangani cabaran umat Islam sejagat.