Mesyuarat PYDC lulus permohonan Dana Pembangunan Belia 2024 sebanyak RM100,000

Mesyuarat Jawatankuasa Penilaian Dana Pembangunan Belia 2024 telah meluluskan permohonan sebanyak RM100,000 kepada pertubuhan-pertubuhan belia yang memohon dana berkenaan pada Selasa.

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen telah mempertimbangkan sebanyak 38 permohonan dengan sejumlah 46 program yang diterima oleh pihak mereka.

“Program yang dimohon adalah berpaksikan objektif dari segi kemahiran, kebolehpasaran, kesukarelawanan, berpersatuan, kepimpinan dan pengiktirafan atau penganugerahan dalam kalangan belia.

“Pemantauan yang rapi akan dilaksanakan oleh Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC) bagi permohonan yang diluluskan agar ia dapat dilaksanakan dengan sewajarnya mengikut sasaran dan objektif yang telah ditetapkan,” kata kenyataan yang dikeluarkan oleh PYDC pada Selasa.

Mesyuarat Jawatankuasa Penilaian tersebut turut dihadiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kota, Wong Yuee Harng, Pengerusi Majlis Belia Negeri Pulau Pinang (MBNPP), Mohd Hafiz Ali Mohd Anuar, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pulau Pinang (JBSNPP), Mozakir Buyong Mokhtar dan Pengurus Besar PYDC, Dr Gwee Sai Ling.

Terdahulu, Dana Pembangunan Belia Pulau Pinang berkenaan dilancarkan pada 18 Januari lalu untuk memberi peruntukan kepada program-program pembangunan belia di Pulau Pinang yang bakal dijalankan pada tahun 2024.

Pengumuman dana tersebut telah melibatkan permohonan daripada pelbagai pertubuhan termasuk Gerakan 4B Belia, Junior Chamber of Commerce (JCI), Bulan Sabit Merah Negeri Pulau Pinang dan Persekutuan Pengakap Malaysia Negeri Pulau Pinang.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat