MET Malaysia Alami Gangguan Internet

PETALING JAYA: Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) memaklumkan bahawa jabatan itu kini berdepan gangguan teknikal ke atas perkhidmatan internet, sekali gus menjejaskan beberapa sistem dalaman serta capaian maklumat kepada orang awam.

Dalam kenyataan media yang dimuat naik di laman rasmi Facebook pada Jumaat, MET Malaysia menjelaskan bahawa usaha pembaikan sedang giat dijalankan bagi memastikan perkhidmatan kembali pulih secepat mungkin.

“Pihak kami sedang menjalankan kerja-kerja pembaikan bagi menyelesaikan isu ini dalam kadar segera.

“Segala kesulitan yang timbul amat dikesali,” katanya.

Menurut jabatan itu, info terakhir mengenai keadaan cuaca di Malaysia telah dikeluarkan pada pukul 8.40 pagi.

Berdasarkan ramalan terkini, beberapa kawasan di Malaysia dijangka mengalami ribut petir pada sebelah petang khususnya di Kuala Lumpur dan kawasan sekitarnya.

Pada waktu pagi, keadaan cuaca dilaporkan cerah tanpa hujan, manakala pada sebelah malam hujan dijangka turun di beberapa lokasi.

Suhu harian di Lembah Klang berada antara 24°C hingga 32°C dengan kelembapan tinggi yang biasa berlaku pada musim Monsun Timur Laut.

Di negeri-negeri lain, cuaca turut menunjukkan pola yang sama dengan hujan dan ribut petir berselang-seli, sejajar dengan keadaan monsun yang sedang aktif.

Penduduk di kawasan pantai timur dan selatan dinasihatkan untuk berwaspada terhadap kemungkinan hujan lebat dan angin kencang pada waktu petang.

Anda Mungkin Berminat