Meta Gagal Banteras Aktiviti Jenayah Dalam Talian – Fahmi

PUTRAJAYA: Kerajaan menzahirkan kebimbangan serius terhadap kegagalan Meta dalam memberikan kerjasama penuh membanteras jenayah siber termasuk aktiviti judi dalam talian, penipuan, penyebaran berita palsu dan kandungan sensitif di platform kendaliannya khususnya Facebook.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, isu berkenaan dibangkitkan dalam mesyuarat bersama wakil Meta yang diadakan di Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang turut disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pejabat Peguam Negara, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Kewangan, Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) dan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA).

Menurut Fahmi, sehingga 19 September lalu, sebanyak 168,774 permohonan penurunan kandungan telah dikemukakan kepada Meta bagi platform Facebook sahaja, mewakili 59 peratus daripada keseluruhan permohonan di semua platform media sosial.

“Daripada jumlah itu, 120,127 permohonan berkaitan judi dalam talian, namun hanya 114,665 kandungan diturunkan.

“Bagi aktiviti penipuan pula, daripada 37,722 permohonan, hanya 36,918 diturunkan, sementara baki kandungan masih berlegar di platform Facebook,” katanya.

Beliau berkata, situasi itu amat membimbangkan kerana berdasarkan statistik PDRM, sebanyak 18,128 kes penipuan e-dagang telah dicatat di tiga platform Meta iaitu Facebook, Instagram dan WhatsApp dari 2023 hingga Ogos 2025 dengan jumlah kerugian melebihi RM248 juta.

“Jelas bahawa Meta masih gagal memberikan kerjasama sepenuhnya dalam membanteras aktiviti jenayah siber.

“Hal ini menjejaskan usaha pihak berkuasa melindungi rakyat daripada ancaman jenayah dalam talian yang semakin meningkat,” katanya.

Bagaimanapun katanya, Meta memberi jaminan untuk mempertingkatkan usaha kerjasama termasuk memperkenalkan mekanisme pengesahan umur dan identiti yang lebih berkesan seperti penggunaan MyKad dan MyDigital ID bagi menyekat akses pengguna bawah umur kepada kandungan tidak sesuai.

“Kerajaan MADANI tidak akan berkompromi dalam isu keselamatan digital.

“Semua penyedia platform media sosial wajib mengambil tanggungjawab lebih besar memastikan kandungan menyalahi undang-undang negara segera diturunkan,” katanya.

Fahmi turut menegaskan bahawa Kementerian Komunikasi bersama agensi penguat kuasa akan memperkukuh langkah pemantauan dan mempertimbangkan tindakan lanjut sekiranya tahap kerjasama Meta tidak dipertingkatkan.

Anda Mungkin Berminat