META telah menyekat akses kepada akaun Instagram @Muslim di India iaitu sebuah halaman berita Muslim dengan 6.7 juta pengikut, atas permintaan kerajaan India.
Memetik laporan media antarbangsa, Barrons News, pengasasnya, Ameer Al-Khatahtbeh mengecam tindakan tersebut sebagai satu bentuk ‘penapisan’, ketika ketegangan yang semakin memuncak antara India dan Pakistan.
Pengguna Instagram di India yang cuba mengakses kandungan daripada akaun @Muslim disambut dengan mesej: ‘Akaun tidak tersedia di India. Ini kerana kami mematuhi permintaan undang-undang untuk menyekat kandungan ini
Tiada reaksi segera daripada kerajaan India berhubung sekatan itu, yang turut berlaku selepas akses kepada akaun media sosial pelakon dan pemain kriket Pakistan turut disekat.
“Saya menerima ratusan mesej, e-mel dan komen daripada pengikut kami di India yang memaklumkan mereka tidak dapat mengakses akaun kami.
“Meta telah menyekat akaun @Muslim atas permintaan undang-undang kerajaan India. Ini adalah satu bentuk penapisan,” kata Ameer, yang juga pengasas dan ketua pengarang akaun berita berkenaan, dalam satu kenyataan.
Meta enggan mengulas lanjut. Seorang jurucakap syarikat itu hanya merujuk AFP kepada laman web dasar syarikat yang menjelaskan bahawa kandungan boleh disekat jika pihak kerajaan percaya ia melanggar undang-undang tempatan.
Perkembangan itu, yang mula dilaporkan oleh majalah teknologi AS, User Magazine, milik wartawan Taylor Lorenz, berlaku ketika keganasan terburuk antara dua negara kuasa nuklear Asia Selatan itu dalam tempoh dua dekad.
Akaun @Muslim adalah antara sumber berita Islam paling ramai pengikut di Instagram.
India turut mengharamkan lebih sedozen saluran YouTube dari Pakistan atas dakwaan menyebarkan kandungan ‘provokatif’, termasuk saluran berita dari negara itu.
Dalam beberapa hari kebelakangan ini, akses kepada akaun Instagram bekas Perdana Menteri Pakistan dan bekas kapten pasukan kriket, Imran Khan, turut disekat di India.
Baca juga: