MetMalaysia Perinci Lokasi Kejadian Gempa Bumi Lemah Di Johor

JOHOR BAHRU: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini mengesahkan dua kejadian gempa bumi lemah yang berlaku di negeri Johor dengan gegaran dirasai di beberapa kawasan sekitar selatan Semenanjung.

Menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan, gempa pertama bermagnitud 4.1 direkodkan pada pukul 6:13 pagi, berpusat kira-kira lima kilometer dari Segamat, Johor.

Gempa kedua pula berlaku pada pukul 9:00 pagi dengan kekuatan 2.8 magnitud, berpusat 28 kilometer barat laut Kluang.

Kedua-dua gempa berlaku pada kedalaman 10 kilometer.

MetMalaysia berkata, gegaran dirasai di Johor, Negeri Sembilan, Melaka dan selatan Pahang, namun tiada ancaman tsunami kepada Malaysia.

Ketua Pengarah MetMalaysia, Dr Mohd Hisham Mohd Anip turut memaklumkan bahawa maklumat gempa diperoleh daripada sistem pemantauan tempatan dan antarabangsa termasuk Pusat Seismologi Nasional dan Badan Meteorologi Indonesia (BMKG).

“MetMalaysia akan terus memantau kejadian ini dan akan memaklumkan sebarang perkembangan terkini kepada orang awam,” katanya.

Sebagai langkah kajian dan penambahbaikan sistem amaran, beliau menyeru orang ramai yang merasai gegaran untuk mengisi borang soal selidik di pautan berikut: https://forms.gle/9SZpDk5oy9d89Who7

“Kerjasama orang awam amat dihargai bagi membantu MetMalaysia menambah baik sistem amaran gempa bumi negara,” tambah beliau.

Walaupun gegaran dikategorikan sebagai lemah dan tidak menyebabkan kerosakan besar, insiden ini menjadi peringatan penting bahawa aktiviti seismik tetap berlaku di Malaysia.

Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dan mengikuti maklumat rasmi daripada MetMalaysia.

Anda Mungkin Berminat