KUALA LUMPUR: Selepas beberapa hari penduduk di Pantai Timur dan beberapa negeri lain berwaspada dengan risiko hujan berterusan, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) pada Sabtu mengumumkan penamatan rasmi semua amaran berkaitan cuaca buruk di kawasan terlibat.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada pukul 1.30 tengah hari, METMalaysia memaklumkan bahawa analisis terkini model-model cuaca menunjukkan keadaan semakin baik dan tiada lagi tanda-tanda hujan berterusan di Terengganu, Pahang, Kelantan, Perak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya serta Negeri Sembilan.
“Amaran Hujan Berterusan (Bahaya, Buruk & Waspada) yang dikeluarkan pada 4:30 petang, 28 November 2025 untuk kawasan berkenaan dengan ini ditamatkan,” kata kenyataan itu.
Penamatan amaran ini dijangka melegakan penduduk di kawasan yang sebelum ini berdepan risiko banjir khususnya di negeri-negeri Pantai Timur yang lazimnya terkesan setiap kali musim tengkujuh.
METMalaysia dalam masa sama mengingatkan orang ramai supaya terus mengikuti perkembangan cuaca melalui saluran rasmi jabatan tersebut, termasuk laman web, aplikasi mudah alih myCuaca dan platform media sosial.
Bagi sebarang pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi talian hotline METMalaysia di 1-300-22-1638.








