Oleh: Hanim Nadia
PETALING JAYA: Orang Kurang Upaya (OKU) dilihat terus mendapat perhatian dalam pembangunan arus perdana negara apabila ditekankan beberapa kali oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan 2025 pada 18 Oktober lalu.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Orang Buta Malaysia (MFB), Silatul Rahim Dahman yang menyambut baik belanjawan itu berkata, peningkatan peruntukan kepada OKU sebanyak RM1.3 bilion adalah rahmat kepada golongan ini.
“Saya berterima kasih bagi pihak komuniti OKU kepada pihak kerajaan yang sangat cakna dan prihatin dan keperluan serta hak kami.
“Banyak peruntukan ditambah untuk memperkasa sekolah-sekolah dan sistem pendidikan untuk pelajar-pelajar OKU khususnya golongan autistik,” katanya kepada Malaysia Bangkit pada Ahad.
Silatul Rahim juga menyambut baik inisiatif Kerajaan untuk memberikan lebih banyak sokongan kepada golongan ini yang bekerja dalam sektor formal dengan peningkatan syarat kelayakan gaji bagi penerima Bantuan Elaun Pekerja OKU daripada RM1,500 kepada RM1,700.
“Jadi, komuniti OKU diseru untuk memanfaatkan sepenuhnya bantuan yang diumumkan kerana peruntukan ini adalah yang terbaik diberikan berbanding negara-negara lain,” katanya lagi.
Kesejahteraan komuniti OKU terus dibela di bawah Belanjawan 2025 MADANI apabila menerima tambahan peruntukan sebanyak RM1.3 bilion berbanding RM1.2 bilion tahun lalu.
Selain itu, dalam usaha meringankan beban pembayar cukai OKU, kerajaan mencadangkan pelepasan cukai tambahan RM7,000 bagi OKU, RM6,000 untuk pasangan OKU, dan RM8,000 bagi mereka yang mempunyai anak OKU yang belum berkahwin.
Kerajaan juga akan menambah baik kemudahan mesra OKU di semua institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) dan meneruskan Program Pemulihan Dalam Komuniti dengan peruntukan sebanyak RM30 juta.
Dalam pada itu, OKU yang ingin menceburi bidang perniagaan, Skim Sinar BSN menyediakan pembiayaan dengan dana RM50 juta.
Bagi memastikan sistem penyampaian awam lebih terangkum, pusat hubungan Kerajaan (MyGCC) akan menyediakan perkhidmatan khusus untuk memenuhi keperluan pemanggil OKU, seperti menyediakan kemudahan panggilan video dengan bahasa isyarat.








