MH370: Mahkamah Beijing Arah Bayar Lapan Kes Pampasan

BEIJING: Selepas lebih sedekad tragedi kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370, Mahkamah Rakyat Daerah Chaoyang di Beijing akhirnya memutuskan lapan kes pampasan melibatkan waris penumpang.

Dalam keputusan yang diumumkan minggu ini, mahkamah mengarahkan Malaysia Airlines membayar lebih 2.9 juta yuan (AS$410,000 atau kira-kira RM1.68 juta) bagi setiap kes.

Pampasan itu merangkumi ganti rugi, kos pengebumian, tekanan emosi, kerugian lain serta kos berkaitan.

Keputusan itu dibuat berdasarkan Konvensyen Montreal serta undang-undang China yang menetapkan hak pampasan kepada keluarga mangsa.

Selain lapan kes yang diputuskan, sebanyak 47 kes lain telah diselesaikan dan ditarik balik, manakala 23 kes lagi masih dalam proses perbicaraan.

Tragedi MH370 berlaku pada 8 Mac 2014 apabila pesawat Boeing 777 yang membawa 239 penumpang dan anak kapal hilang ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing.

Kehilangan pesawat itu kekal sebagai salah satu misteri terbesar dalam sejarah penerbangan dunia dengan usaha pencarian melibatkan pelbagai negara namun bangkai pesawat tidak pernah ditemui sepenuhnya.

Malaysia Airlines setakat ini belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung keputusan mahkamah Beijing.

Anda Mungkin Berminat