SHAH ALAM: Parti MIC menegaskan komitmen teguh untuk terus menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga akhir penggal pentadbirannya, meskipun sedang mempertimbangkan langkah meninggalkan Barisan Nasional (BN), gabungan politik yang telah menjadi rumah mereka selama lebih lima dekad.
Presidennya, Tan Sri SA Vigneswaran berkata, MIC tidak bercadang untuk bergerak secara solo, sebaliknya akan menyertai gabungan politik lain sekiranya keputusan keluar BN dimuktamadkan.
“Paling penting, kami dalam dilema kerana Perdana Menteri (Anwar) sendiri tidak salah (berhubung perkara ini).
“Jadi, pendirian kami teguh sokong beliau bagi tempoh dua tahun lagi.
“Kami telah beri jaminan sebelum ini kami akan sokong Anwar sehingga akhir penggalnya. Keputusan itu masih terpakai,” katanya memetik laporan FMT.
Menurut Vigneswaran, Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) parti akan membuat keputusan muktamad berhubung kedudukan MIC dalam BN ‘dalam masa terdekat’, selepas perwakilan sebulat suara meluluskan dua resolusi untuk meninggalkan BN, namun menyerahkan keputusan akhir kepada CWC dan presiden parti.
“Kami bukan main politik … cuma sudah bosan (tentang kedudukan dalam BN).
“Keputusan ini dibuat untuk pastikan sebarang formula perkongsian kuasa mesti berlandaskan prinsip maruah,” katanya.
Beliau turut berkata, perbincangan telah diadakan dengan Anwar, yang juga Pengerusi Pakatan Harapan, pada Jumaat lalu.
“Saya telah bercakap dengan beliau (Anwar), bukan untuk runding soal kerusi tetapi untuk maklumkan hasrat kami meninggalkan BN.
“Beliau (Anwar) nasihati saya agar pertimbang semula (keputusan) kerana kami sudah lama dalam BN,” kata bekas speaker Dewan Negara itu.
Bagaimanapun, Vigneswaran berkata, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, masih belum dimaklumkan secara rasmi kerana MIC menganggap perkara itu sebagai urusan dalaman parti.
Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa wakil rakyat MIC akan dapat mengekalkan kerusi mereka sekiranya parti itu keluar dari BN, memandangkan akta antilompat parti hanya terpakai kepada individu yang bertukar parti, bukan kepada parti yang mengubah sokongan.








