KUALA LUMPUR: MIC menegaskan pendiriannya untuk terus mendukung kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, meskipun wujud perbincangan tidak rasmi dengan Perikatan Nasional (PN).
Memetik laporan Malaysiakini, Setiausaha Agung MIC, S Ananthan berkata, parti itu tetap komited bersama Kerajaan MADANI dan isu menarik balik sokongan tidak seharusnya timbul.
“MIC memang adakan perbincangan tidak rasmi dengan PN. Itu tidak bermakna kami akan tarik balik sokongan kepada perdana menteri sebelum tamat tempoh kerajaan perpaduan hari ini.
“Soal tarik balik sokongan perdana menteri tak perlu dibangkit. MIC tetap dengan pendirian sebelum ini, menghormati titah Yang di-Pertuan Agong mendukung kerajaan perpaduan,” katanya.
Sebelum ini, Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran, mengakui parti itu ada mengadakan perbincangan tidak rasmi dengan PN berhubung hala tuju parti, namun menegaskan ia bukan sesuatu yang perlu dirahsiakan atau disifatkan sebagai “hubungan sulit”.
Beliau menegaskan MIC sedang meneliti masa depan politiknya tetapi pada masa sama tidak menolak kemungkinan berunding dengan mana-mana pihak demi kesejahteraan masyarakat India.
Isu kedudukan MIC dalam kerajaan perpaduan kembali diperkatakan selepas Timbalan Presidennya, Datuk Seri M Saravanan, mendakwa parti berkenaan diketepikan dalam pentadbiran semasa sehingga mencetuskan pertikaman lidah dengan Umno dan DAP.
Pada 15 Ogos lalu, Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin, turut dilaporkan terbuka dengan kemungkinan MIC serta MCA menyertai PN, malah mendakwa jemputan rasmi telah disampaikan.
Bagaimanapun, penegasan MIC bahawa sokongan kepada Anwar akan kekal sehingga PRU akan datang dilihat sebagai usaha meredakan spekulasi mengenai kedudukan parti itu dalam kerajaan perpaduan.
Baca juga: