PETALING JAYA: MIC tidak perlu membuat permohonan maaf kepada UMNO berhubung kenyataan Presidennya, Tan Sri S.A. Vigneswaran, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi.
Beliau berkata, UMNO tidak pernah mendesak MIC untuk berbuat demikian, malah isu tuduhan Vigneswaran terhadap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai penipu tidak pernah dibincangkan oleh MKT UMNO.
“Apabila Vigneswaran tuduh Zahid penipu, ia bukan isu kepada UMNO.
“Sebab itu MKT UMNO tidak bincang dan desak MIC minta maaf.
“Lebih baik MIC minta maaf kepada masyarakat India jika rasa bersalah hingga dihukum teruk di Pilihan Raya Umum ke-15,” katanya.
Puad turut menekankan bahawa masalah sebenar MIC berpunca daripada segelintir pemimpin yang tidak mendapat jawatan, sedangkan pelantikan adalah prerogatif Perdana Menteri.
“Masalah MIC sebenarnya adalah masalah seorang dua pemimpin MIC yang tidak dapat jawatan.
“Walhal itu prerogatif PMX. Wakil rakyat MIC tidak ada masalah. Mereka tetap berkhidmat dengan baik,” katanya.
Beliau mengingatkan bahawa MIC pernah membuat keputusan sendiri ketika menyertai Perikatan Nasional (PN) pada Julai 2020 tanpa berbincang dengan UMNO dan keluar daripada gabungan itu pada Ogos 2020 juga tanpa paksaan UMNO.
“Ketika MIC menyertai PN Julai 2020, parti itu tidak bincang dengan UMNO pun. Bila MIC keluar PN pada Ogos 2020 bukan UMNO yang paksa. UMNO tahu MIC bukan parti junior,” jelasnya.
Puad menambah, keputusan MIC untuk menyertai mana-mana gabungan politik adalah hak parti itu sendiri.
“Perwakilan MIC serah pada pimpinan MIC buat keputusan. Jangan jadikan pula sejambak bunga daripada PMX untuk dolak dalik. Kalau mahu sertai PH, tiada yang larang.
“Vigneswaran bukan ‘junior politician’. Bukan budak budak,” katanya.








