Midnight Fusic Gegar Zepp KL, Konsert Solo Pertama Sempena Satu Dekad

Oleh: Aliyaa Azmi

SETELAH sedekad mewarnai dunia muzik indie tempatan dan antarabangsa, Midnight Fusic kini tampil dengan konsert solo berskala besar pertama mereka, Midnight Fusic Forevermore 2025, yang bakal berlangsung pada 14 September ini di Zepp Kuala Lumpur.

Menurut Pengarah Urusan OYOLLO ASIA, Kenny Wong, konsert itu bukan sekadar persembahan tetapi satu manifestasi perjalanan seni dan semangat generasi muda yang berani serta penuh kreativiti.

“Konsert ini bukan sekadar persembahan biasa, ia merupakan satu penghargaan kepada perjalanan seni mereka selama ini dan simbol perayaan bakat anak muda Malaysia.

“Kami amat berbangga menjadi penganjur acara penting ini,” katanya.

Midnight Fusic sebelum ini pernah menggegarkan pentas dalam dan luar negara seperti Riuh, MLBB 8th Anniversary Music Party, Last Dinosaurs Live In KL, Incheon Record Platform di Korea serta We The Fest di Indonesia, sekali gus membuktikan daya tarik mereka merentasi sempadan.

Konsert ini dijangka mengetengahkan susunan lagu yang segar, visual yang artistik dan konsep pentas yang ekspresif serta menjanjikan pengalaman penuh emosi dan kepuasan buat para peminat yang setia.

Vokalis kumpulan, Arif, menyifatkan momen paling dinanti ialah saat lagu pertama berkumandang iaitu detik penyatuan semua yang hadir.

“Konsert ini bukan sekadar satu lagi gig, ia lembaran baharu buat kami dan ruang untuk lebih dekat dengan peminat yang selama ini menyokong secara terang-terangan mahupun dalam diam,” katanya.

Tiket mula dijual pada 14 Julai 2025 pukul 3 petang menerusi laman web www.ticket2u.com.my, dengan harga bermula dari RM134 hingga RM3,844 bagi pakej VIP Box.

Info lanjut boleh didapati di media sosial rasmi @oyollo.asia dan @midnightfusic.

Konsert berdurasi 90 minit itu dijangka menghimpunkan ribuan peminat, sekali gus menjadi simbol penghargaan terhadap satu dekad perjalanan muzik mereka yang penuh warna dan keberanian.

Anda Mungkin Berminat