Midnight Fusic sasar lagu baru sebelum konsert ‘Malam Simfoni Luka’

Oleh: Aliyaa Azmi

KUMPULAN Midnight Fusic menyifatkan penyertaan mereka dalam konsert ‘Malam Simfoni Luka’ sebagai satu fasa penting evolusi muzik kumpulan itu, sekali gus menjadi pentas menguji konsep serta identiti baharu yang bakal dibawa dalam karya mereka selepas ini.

Tidak sekadar menjanjikan persembahan emosional, kumpulan itu mendedahkan konsert akan menjadi wadah untuk memperkenalkan sisi Midnight Fusic yang lebih matang dari segi muzik mahupun penceritaan visual.

“Konsert ini sangat bermakna untuk kami kerana ia menjadi ruang untuk bereksperimen dengan konsep baharu.

“Ini kali pertama kami di Megastar Arena dan kami dapat berkongsi pentas ini bersama rakan-rakan, jadi ia momen penting dalam perjalanan seni kami,” kata Midnight Fusic ketika ditemui Arena Muzik.

Menurut salah seorang ahli Midnight Fusic, Arif Kamarudin, menyedari tema konsert yang sarat dengan perasaan, mereka turut memberi penekanan terhadap unsur visual sebagai elemen penceritaan.

“Kami bukan sekadar tampil dengan setlist biasa. Kami sediakan visual baharu yang benar-benar melengkapi muzik kami. Kami mahu penonton merasai ‘dunia’ yang kami cipta melalui lagu-lagu itu,” katanya.

Midnight Fusic turut menyifatkan ini sebagai langkah permulaan dalam era baharu mereka, terutama selepas hampir sedekad merancang untuk menghasilkan album penuh yang lebih jujur dan dewasa.

“Kami sudah lama merancang untuk selesaikan album baharu ini. Tahun depan kami ada ruang untuk fokus dan kami rasa ini masa paling tepat untuk melahirkan karya yang betul-betul mencerminkan siapa Midnight Fusic hari ini,” kata Arif lagi.

Konsert berkenaan juga bakal menjadi platform untuk memperdengarkan lagu baharu, yang menurut mereka merupakan simbol permulaan babak seterusnya dalam kerjaya muzik.

“Kami sasarkan untuk keluarkan lagu sebelum konsert supaya peminat dapat ikut sama menyanyi. Tapi kalau tak sempat, selepas konsert pun kami akan keluarkan. Apa yang pasti, peminat akan dengar lagu itu buat pertama kali di pentas Malam Simfoni Luka,” ujarnya.

Bagi Midnight Fusic, konsert ini bukan sekadar persembahan, tetapi satu perjalanan transformasi yang ingin dikongsi bersama peminat lama mahupun baharu.

“Kami hargai sokongan semua dari awal hingga sekarang. Teruskan bersama kami untuk fasa seterusnya. Jumpa di Malam Simfoni Luka.”

Konsert pada 24 Januari 2026 itu turut membariskan For Revenge dan Insomniacks, dengan gabungan tiga genre dijangka membentuk pengalaman muzik yang reflektif, peribadi dan penuh makna.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat