Mimi Fly sunting semula MV Serumpun, tampil lebih sopan

VIDEO muzik (MV) Serumpun nyanyian Mimi Fly yang sebelum ini ‘hilang’ dari YouTube kembali dimuat naik dalam versi suntingan semula pada jam 11.11 pagi tadi.

Dalam tempoh kurang setengah jam, video berkenaan telah meraih lebih 3,000 tontonan dan hampir 1,000 tanda suka.

Untuk versi baharu, Mimi atau nama sebenarnya, Shamimi Amalina Norhisham tampil dengan penampilan lebih sopan, membuktikan kesediaannya menerima teguran mengenai gaya yang dikatakan tidak sesuai dengan konsep Hari Raya.

Akur Dengan Teguran
Menerusi hantaran video di Instagram, Mimi mengakui bahawa apa yang berlaku adalah satu kekhilafan dan dia menerima teguran dengan hati terbuka.

“Sejak video muzik dilancarkan, saya menerima banyak maklum balas daripada peminat dan pendengar muzik Malaysia, termasuk Mufti Wilayah Persekutuan.

“Ada komen positif, tetapi ada juga yang bimbang pendekatan seni saya mungkin ditafsir secara berbeza dan menyimpang daripada niat asal.

“Saya ambil maklum dan akur dengan kekhilafan diri. Video muzik Serumpun sebelum ini sudah pun diturunkan. Terima kasih atas teguran, saya mohon maaf.

“Saya bersyukur kerana dapat memohon maaf sebelum tiba Hari Raya,” katanya kepada pemberita.

Tindakan Mimi menyunting semula MV Serumpun mendapat pujian peminat, yang menyifatkannya sebagai seorang yang kaya dengan adab dan berlapang dada menerima teguran.

“Bila ditegur, lalu dia mengubah – inilah insan yang punyai nilai adab tinggi. Teruskan berkarya, Mimi. Love your karya!” tulis seorang pengguna YouTube.

Seorang lagi peminat menyatakan kekagumannya terhadap sikap rendah diri penyanyi itu.

“Dia sangat menghormati orang. Dia juga seorang penghibur sejati. Syabas, Mimi!”

Sebelum ini, netizen meluahkan rasa kecewa apabila MV Serumpun tidak lagi boleh ditonton di YouTube.

Terdapat spekulasi bahawa video itu ditukar kepada ‘mode privasi’ susulan kritikan terhadap penampilan berkemban Mimi dalam MV berkenaan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat