Mimifly mohon maaf isu berkemban dalam MV ‘Serumpun’, netizen kritik ‘tak masuk’ tema raya

LAGU raya terbaru Mimifly, ‘Serumpun’ menjadi perhatian bukan sahaja kerana irama dan konsepnya yang unik tetapi juga isu kontroversi penampilan penyanyi itu dalam muzik video (MV) yang dianggap “tidak kena” dengan semangat Hari Raya.

Dalam MV tersebut, Mimifly atau nama sebenarnya Shamimi Amalina Norhisham, 39, tampil berkemban sehingga mengundang pelbagai reaksi daripada netizen.

Ramai menyuarakan rasa kurang senang dengan pakaian yang disifatkan tidak sesuai untuk sebuah lagu bertemakan Aidilfitri.

Malah, ada yang menyatakan bahawa Serumpun lebih menyerupai lagu kebudayaan Nusantara, berbanding lagu Raya yang biasa kita dengar.

“Tak rasa vibe nak raya pun, lebih kepada lagu pembukaan event kebudayaan ASEAN,” komen seorang pengguna TikTok.

Terhimpit dengan pelbagai kritikan, Mimifly akhirnya tampil memohon maaf.

Dalam kenyataannya, beliau mengakui tidak berniat untuk mencetuskan kontroversi.

“Saya ingin memohon maaf jika ada yang tersinggung dengan elemen dalam MV tersebut.

“Tiada niat untuk mencetuskan kontroversi, saya cuma mahu meraikan kepelbagaian budaya dalam cara tersendiri,” jelasnya.

Di sebalik kontroversi itu, salah seorang kru penggambaran berkongsi rakaman di sebalik tabir untuk memberi gambaran tentang usaha besar yang dicurahkan dalam projek itu.

“Tiada perkara sempurna datang dengan mudah. Waktu kerja yang panjang, kekeliruan, rakaman semula, tekanan dan komitmen… inilah resipi di sebalik Serumpun,” tulisnya di Instagram.

Walaupun berdepan kecaman, Serumpun tetap mencatat rekod sebagai trending di YouTube dengan 413,000 tontonan dalam masa tiga hari selepas pelancarannya.

Anda Mungkin Berminat