MELAKA: Semua produk minyak enjin kenderaan dari dalam negara mahupun import diwajibkan mempunyai perakuan dan penandaan label yang diperakukan Institut Piawaian dan Penyelidikan (SIRIM) berkuatkuasa 7 April ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, peraturan baru itu bertujuan melindungi pengguna daripada menjadi mangsa penipuan minyak enjin tiruan di pasaran yang semakin meningkat.
“Perintah baharu ini sekali gus membanteras penjualan minyak tiruan di pasaran yang boleh membawa risiko keselamatan dan kemalangan di jalan raya.
“Perintah ini juga akan dapat melindungi kepentingan syarikat-syarikat pengeluar produk minyak enjin kenderaan motor dengan mengekang risiko penghasilan produk-produk yang tidak tulen oleh pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Mengulas lanjut, Armizan berkata, perakuan dan penandaan label SIRIM itu telah diwartakan pada 11 Oktober tahun lalu dan pihaknya memberi tempoh selama enam bulan kepada pihak industri untuk membuat persediaan sebelum April ini.
“Langkah mewajibkan perakuan dan penandaan SIRIM ini juga ekoran kadar peningkatan aduan pengguna terhadap minyak enjin tiruan setiap tahun.
“Sejak Januari 2019 hingga Februari lalu, kementerian menerima 240 aduan berkaitan isu berkenaan dan sebanyak 36 tindakan telah diambil dengan nilai rampasan berjumlah RM1.15 juta,” katanya.
Tegasnya, KPDN tidak akan berkompromi dengan mana-mana syarikat pengimport, pengedar, penjual sekiranya didapati memasarkan produk yang tidak mendapat perakuan dan label pematuhan yang sah.