Minyak RON95 Turun RM2.05 Sen kepada RM1.99 Seliter Mulai Akhir September

KUALA LUMPUR: Kerajaan MADANI hari ini mengumumkan berita gembira buat rakyat apabila harga petrol RON95 bakal diturunkan daripada RM2.05 kepada RM1.99 seliter, menjelang pelaksanaan penyasaran subsidi petrol pada penghujung September 2025.

Pengumuman itu dibuat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapannya bertajuk Penghargaan Untuk Rakyat Malaysia, sebagai sebahagian daripada langkah strategik menyasarkan subsidi secara bersasar demi manfaat rakyat yang benar-benar layak.

“Kerajaan beri jaminan bahawa rakyat biasa tidak akan terjejas. Bahkan, rakyat akan menikmati harga RON95 yang lebih rendah – RM1.99 seliter,” tegas beliau.

Langkah ini dijangka memberi manfaat langsung kepada sekitar 18 juta pengguna termasuk pemandu kereta, penunggang motosikal, golongan pekerja gig dan belia seawal usia 16 tahun.

Menurut Anwar, langkah penyasaran subsidi ini adalah penting untuk mengurangkan ketirisan subsidi kepada pihak yang tidak layak termasuk warga asing, dan untuk memastikan sumber negara diurus secara cekap dan adil.

Sebagai perbandingan, harga pasaran tanpa subsidi bagi RON95 masih sekitar RM2.50 seliter, meskipun harga minyak mentah dunia kini lebih rendah berbanding tahun sebelumnya.

Kerajaan turut menjelaskan bahawa warganegara asing akan perlu membayar harga pasaran sebenar tanpa subsidi bagi bahan api RON95 selepas mekanisme penyasaran dilaksanakan.

Terdahulu, subsidi RON95 telah menelan belanja hampir RM20 bilion setahun pada 2023 dan 2024, dan kerajaan berhasrat mengoptimumkan perbelanjaan tersebut untuk manfaat rakyat terbanyak, termasuk memperkukuh bantuan sosial dan pembangunan komuniti.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat