Misha Omar sampaikan rasa hati tersirat

PENUH jiwa, itu bait mudah menggambarkan perjalanan seni seorang Misha Omar dalam persembahan melankolik baru-baru ini.

Kemampuan penghibur nan satu mewarnai sepanjang malam dengan lagu-lagu bernada tinggi lagi mendayu ini antara momen yang akan diingati sampai bila-bila oleh peminatnya.

Sementelah lagi Misha sangat dikenali dengan ekspresi mukanya yang bermacam dimensi. Bermula dengan penghayatan lagu sedih hinggalah rasa cemas menerusi lirikan matanya yang sangat tersirat.

“Kalau dengan menyanyi boleh menyampaikan rasa hati, saya sanggup melakukannya seumur hidup,” ujarnya disambut tepukan gemuruh oleh 4,000 penonton di Mega Star Arena ini.

“Dia Misha Omar” yang berdurasi lebih dua jam menghidangkan pelbagai lagu hit seperti Dedebu Cinta, Ku Seru, Tanpa Rela, Break, Pulangkan, Angin Syurga, Untuk Bermimpi serta Cinta Adam & Hawa, sebelum menutup tirai dengan karya ikonik Bunga-Bunga Cinta.

Misha turut mempersembahkan segmen tribute buat Allahyarham Datuk Adnan Abu Hassan, guru yang membentuk asas perjalanan seninya.

Tidak hanya itu, Misha turut membuat kejutan dengan menampilkan anaknya, Idris sebagai pasangan duet menerusi lagu Inggeris berjudul Destiny.

Turut memberi sokongan ialah rakan artis, antaranya Anuar Zain, Ernie Zakri dan suaminya Syamel, Scha Alyahya dan suaminya, Awal Ashaari, Sherry Alhadad.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat