WASHINGTON: NASA dan SpaceX pada Jumaat melancarkan misi Crew-10 ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) bagi membawa pulang dua angkasawan Amerika Syarikat, Butch Wilmore dan Suni Williams, yang terkandas di makmal orbit itu selama sembilan bulan.
Memetik Reuters, roket Falcon 9 milik SpaceX berlepas pada pukul 7.03 malam dari Pusat Angkasa Kennedy NASA di Florida, membawa empat angkasawan yang akan menggantikan Wilmore dan Williams. Kedua-duanya yang merupakan angkasawan veteran NASA dan bekas juruterbang ujian Tentera Laut AS, adalah individu pertama menerbangkan kapsul Starliner Boeing ke ISS pada Jun lalu.
Bagaimanapun, masalah sistem pendorong Starliner semasa penerbangan memaksa mereka untuk memanjangkan misi daripada lapan hari yang dirancang, kerana NASA menganggap penerbangan pulang menggunakan kapsul tersebut terlalu berisiko. Starliner akhirnya kembali ke bumi tanpa penumpang pada September.
Walaupun pada asasnya misi Crew-10 hanyalah rutin pertukaran kru, ia menjadi langkah penting bagi membawa pulang Wilmore dan Williams. Mereka dijadual meninggalkan ISS pada 19 Mac selepas ketibaan kru Crew-10 pada malam Sabtu ini.
Misi berkenaan turut dicemari unsur politik apabila Presiden Donald Trump dan penasihatnya, Elon Musk yang juga Ketua Pegawai Eksekutif SpaceX mendakwa tanpa bukti bahawa bekas Presiden Joe Biden sengaja membiarkan angkasawan itu terkandas atas sebab politik.

Tuntutan Trump dan Musk supaya kepulangan dipercepatkan dianggap campur tangan luar biasa, dan NASA akhirnya mempercepatkan pelancaran Crew-10 daripada tarikh asal 26 Mac, menggunakan kapsul SpaceX yang tersedia lebih awal.
Tekanan daripada Musk dan Trump turut memberi kesan kepada proses persiapan dan keselamatan NASA yang kebiasaannya mengikut garis panduan ketat.
Setibanya kru baru di ISS, Wilmore, Williams serta dua lagi angkasawan, Nick Hague dari NASA dan Aleksandr Gorbunov dari Rusia akan kembali ke bumi menggunakan kapsul yang telah melekat di stesen itu sejak September, sebagai sebahagian daripada misi Crew-9.
Sekiranya Crew-10 dilancarkan seperti dirancang, ia dijangka berlabuh di ISS pada pukul 11.30 malam Sabtu, disusuli dengan majlis penyerahan rasmi sebelum kru Crew-9 berlepas pada 19 Mac.
Baca juga: