GREECE: Kapal pelayaran Misi Global Sumud Flotilla sekali lagi menjadi sasaran serangan dron yang dipercayai milik rejim Israel, ketika mula memasuki perairan Lautan Mediterranean awal pagi Rabu.
Menurut Ketua Pengarah dan Jurucakap Rasmi Sumud Nusantara Flotilla, Datuk Dr Sani Araby, sebanyak 15 dron asing dilaporkan berlegar rendah setiap 10 minit, menunjukkan cubaan intimidasi yang berterusan terhadap misi kemanusiaan tersebut.
“Flotilla kini berada di Zon Kelabu, perairan Greece, sekitar 750 batu nautika dari Gaza, belum memasuki Zon Kuning atau Merah.
“Gangguan ini adalah kali keempat sejak team berlayar di Lautan Mediterranean dan diyakini sebagai usaha untuk menakutkan serta mengugut,” katanya.
Sani turut mendedahkan bahawa terdapat 12 letupan udara yang dilaporkan oleh para delegasi, namun kesemua 34 wakil Malaysia berada dalam keadaan selamat.
Pihak sekretariat juga telah mengeluarkan rakaman video serangan dron yang menunjukkan siri serangan ke atas kapal pelayaran tersebut, namun tiada kecederaan dilaporkan.
“Pihak sekretariat percaya dron-dron ini bertujuan untuk mengugut dan mungkin mengumpulkan maklumat risikan untuk Israel.
“Terdapat letupan, dron tidak dikenali dan gangguan komunikasi.
“Kami sedang menyaksikan sendiri operasi psikologi ini berlaku sekarang, tetapi kami tidak akan gentar,” ujarnya.
Misi Global Flotilla yang diketuai oleh aktivis alam sekitar Gretha Thunberg melibatkan 51 kapal pelayaran yang kini berada di luar persiaran pulau Crete, Greece, dalam perjalanan menuju ke Gaza bagi menyampaikan bantuan kemanusiaan.
Sebelum ini, Kementerian Luar Israel menegaskan bahawa rejim itu tidak akan membenarkan sebarang kapal memasuki zon pertempuran atau melanggar sekatan laut.
Mereka turut mendakwa HAMAS sebagai dalang di sebalik flotilla tersebut dan menggesa agar semua bantuan hanya disalurkan melalui Marina Ashkelon.
“Kita akan mengiktiraf negara Palestin apabila ia mempunyai kerajaan berkesan yang menerima hak kewujudan Israel serta menolak keganasan secara mutlak,” kata Menteri Luar Israel, Dr Vivian Balakrishnan, dalam kenyataan berasingan.







