PETALING JAYA: Misi Global Sumud Flotilla (GSF) bukanlah sandiwara politik seperti yang didakwa segelintir pihak, sebaliknya merupakan gerakan kemanusiaan tulen yang konsisten memperjuangkan kebebasan Palestin, tegas aktivis kemanusiaan dan bekas wartawan, Zainal Rashid Ahmad (ZRA).
Beliau menolak keras dakwaan bahawa misi tersebut ditunggang oleh mana-mana pihak termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sambil menyifatkan dakwaan itu sebagai berpunca daripada mentaliti politik sempit yang gagal memahami semangat sebenar perjuangan kemanusiaan.
“Sumud ialah gerakan NGO kemanusiaan yang sudah lama memperjuangkan Palestin.
“Ia bukan projek politik. NGO seperti Cinta Gaza Malaysia dan MAPIM telah berjuang di pentas antarabangsa sejak sekian lama,” katanya dalam satu temu bual bersama program Keluar Sekejap.
Zainal turut menegaskan bahawa mereka yang menuduh GSF sebagai ‘wayang politik’ hanya melihat usaha kemanusiaan melalui lensa kepartian tanpa memahami penderitaan sebenar rakyat Palestin yang dizalimi.
“Bila semua perkara dilihat dari lensa politik, nilai kemanusiaan hilang.
“Mereka tak faham penderitaan Palestin, sebaliknya terus menuduh tanpa memahami konteks perjuangan sebenar,” tegasnya.
Beliau menjelaskan bahawa sokongan rakyat Malaysia terhadap Palestin bukanlah sesuatu yang bersifat sementara tetapi lahir daripada sejarah panjang negara ini menentang penjajahan dan penindasan.
“Kita pernah berada di bawah penjajahan 400 tahun. Jadi, rasa simpati terhadap Palestin datang daripada pengalaman itu.
“Sebab itu negara-negara seperti Malaysia, Brazil dan Afrika Selatan bangkit menolak kolonialisme moden,” ujarnya.
Misi Global Sumud Flotilla yang disertai oleh aktivis kemanusiaan Malaysia digerakkan sepenuhnya oleh pertubuhan bukan kerajaan tanpa sebarang pembiayaan politik.
Ia diterajui oleh organisasi berpengalaman seperti MAPIM dan Cinta Gaza Malaysia sebagai simbol solidariti global terhadap perjuangan membebaskan Palestin daripada cengkaman rejim Zionis.








